Hagwon
Hagwon adalah bahasa Korea yang mempunyai erti “institusi swasta”. Hagwon merupakan sebuah institusi yang menjadi tempat para pelajar untuk mengulang kaji pelajaran dan meningkatkan pencapaian mereka di sekolah. Hagwon merupakan sebuah pendidikan tambahan bagi pelajar-pelajar di Korea Selatan selepas selesai menghadiri sekolah formal. Hagwon memastikan para pelajar memperolehi markah yang bagus di sekolah sehingga apabila ada pelajar yang gagal dalam peperiksaan, tutor-tutor akan memastikan mereka berjaya dalam peperiksaan yang seterusnya. Kita mengetahui bahawa untuk memasuki peringkat universiti, pelajar-pelajar di Korea Selatan yang sudah tamat sekolah tinggi harus mengikuti peperiksaan masuk ke universiti. Peperiksaan masuk ke universiti ini merupakan antara masa-masa yang penting dalam kehidupan masyarakat Korea Selatan yang bergelar pelajar.
Hagwon di Korea Selatan bukan sahaja menawarkan pengajaran tambahan yang berkaitan dengan akademik tetapi juga bukan akademik seperti pengajaran piano, berenang, dan taekwondo. Dengan menawarkan pengajaran berbentuk bukan akademik, hagwon membantu meningkatkan produktiviti pelajar-pelajar di Korea Selatan. Di Korea Selatan, hampir seluruh ibu bapa memasukkan anak mereka ke hagwon. Selain daripada pengajaran mengenai bidang akademik dan bukan akademik, hagwon di Korea Selatan juga mengutamakan pengajaran bahasa Inggeris. Bukan hanya orang dewasa, tetapi pelajar-pelajar universiti yang mempunyai kemampuan bahasa Inggeris yang baik boleh menjadi tutor di hagwon-hagwon yang ada di Korea Selatan. Menurut statistik tahun 2008, dikatakan lebih daripada 70,000 hagwon beroperasi di Korea Selatan. Tetapi walaubagaimanapun, semakin banyak pihak yang mulai menentang hagwon di Korea Selatan. Hal ini disebabkan mereka beranggapan bahawa pelajar yang memasuki hagwon akan merasa semakin tertekan. Tetapi apabila kita lihat daripada sisi positif, hagwon banyak membantu pelajar-pelajar Korea Selatan dalam pendidikan mereka.
Rujukan:
1. Bedeski, R. (1994). The Transformation of South Korea. London: Routledge.
2. Kwangmyong Publishing Company. (1972). Korea: Past and Present. Seoul: Kwangmyong Publishing Company.
3. Retrieved from: http://www.koreabang.com/2013/pictures/extreme-hagwon-adverts-start-korean-education-debate.html