Pendidikan Tinggi (High Education)
Tujuan pendidikan tinggi di Korea Selatan adalah untuk menanamkan pemahaman dalam diri mereka tentang manusia dan persekitarannya, keinginan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat, serta azam untuk meningkatkatkan kualiti kehidupan. Dahulu, kerajaan mengawal jumlah pelajar yang masuk ke universiti-universiti. Pada tahun 1984, terdapat 870,170 pelajar yang berjaya masuk ke universiti. Kini, kerajaan masih lagi mengawal tetapi ianya hanya bagi jabatan-jabatan yang dianggap mempunyai permintaan tinggi dalam masyarakat seperti undang-undang, kejuruteraan, perubatan, dan elektronik.
Pelajar-pelajar yang memohon masuk ke universiti akan dipilih berdasarkan keputusan peperiksaan negara dan rekod sekolah yang tinggi. Antara universiti-universiti di Korea Selatan yang dikenali di peringkat antarabangsa adalah Seoul National University, Korea University, dan Yonsei University.
Biasiswa dan Bantuan Kewangan
Kerajaan Korea Selatan memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang layak supaya mereka tidak perlu bimbang untuk meneruskan pelajaran mereka. Antara bantuan kewangan yang ditawarkan kepada pelajar-pelajar adalah pinjaman kerajaan, biasiswa yang diberikan oleh syarikat-syarikat swasta, individu perseorangan, dan pengecualian daripada membayar penuh yuran sekolah. Yayasan untuk mengawal biasiswa telah didirikan oleh kerajaan agar biasiswa boleh dikendalikan dengan lebih baik.
Pelajar-pelajar asing juga diberi kesempatan untuk mendapatkan biasiswa ini. Pelajar-pelajar asing yang berminat dalam Pengajian Korea digalakkan untuk belajar di Korea di bawah biasiswa kerajaan. Pelajar-pelajar yang datang ke Korea Selatan dan berada di bawah biasiswa kerajaan diberikan kebebasan dalam memilih sekolah mana yang ingin dimasuki. Penginapan, biaya hidup, dan perkara lain diuruskan oleh pegawai kerajaan. Pada kebiasaannya, pelajar-pelajar asing yang berjaya memperoleh biasiswa kerajaan Korea Selatan akan diberikan latihan bahasa Korea selama satu tahun sebelum mereka mulai mengikuti kursus-kursus mereka.
Rujukan:
1. Bedeski, R. (1994). The Transformation of South Korea. London: Routledge.
2. Kwangmyong Publishing Company. (1972). Korea: Past and Present. Seoul: Kwangmyong Publishing Company.
3. Retrieved from: http://asiasociety.org/education/learning-world/south-korean-education-reforms